
NEW YORK: Malaysia dan Sri Lanka bersetuju untuk mengukuhkan hubungan dua hala dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan serta pembangunan sumber manusia.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkara itu dibincangkan semasa pertemuannya dengan Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe di sini, hari ini.
Anwar kini berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.
“Dalam mesyuarat, kami bersetuju untuk mengukuhkan hubungan dua hala dalam pelbagai sektor untuk faedah bersama,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya selepas mesyuarat itu.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pertemuan itu juga memberi peluang kepada kedua-dua negara meneroka bidang kerjasama baharu dalam usaha memperkukuh kerjasama sedia ada.
“Semoga kerjasama ini dapat memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan Sri Lanka,” kata Anwar.
Selain Wickremesinghe, Perdana Menteri juga mengadakan pertemuan dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran, Seyed Ebrahim Raisi pada hari pertamanya di bandar raya ini.
| ARTIKEL BERKAITAN