Tumpuan :
Nasional

Malaysia sumbang RM45 juta kepada rakyat Palestin sejak Oktober 2023

Penduduk Palestin berkumpul untuk menerima bantuan bekalan makanan. – Foto fail Reuters

KUALA LUMPUR: Malaysia menyumbang sejumlah RM45 juta kepada rakyat Palestin di Gaza sejak serangan Israel pada 7 Oktober 2023.

Menurut Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, sumbangan itu disalurkan melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.

Mengulas lanjut, katanya lebih 5,000 tan bantuan kemanusiaan dari Malaysia sudah dihantar ke Gaza melalui sempadan Rafah sejak Oktober 2023 yang memberi manfaat kepada jutaan penduduk Palestin.

“Situasi kini semakin mencabar selepas pintu sempadan Rafah ditutup sejak 7 Mei lalu dan kini, satu-satunya laluan bantuan yang masih beroperasi adalah melalui jambatan Raja Hussein di Jordan.

“Oleh sebab itu, kita sedang mengukuhkan kerjasama antara Malaysia dan kerajaan Jordan dan kita mendapat undangan dan bersetuju untuk turut serta dalam misi bantuan melalui jambatan ini dengan kerjasama kerajaan Jordan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, Mohamad berkata Malaysia komited untuk memastikan Palestin diiktiraf sebagai negara anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Selain itu, katanya negara juga terus bersuara lantang memperjuangkan hak mutlak rakyat Palestin dan dengan tegas menyatakan pendirian negara pada sesi ke-79 Perhimpunan Agung (PBB) baru-baru.

Beliau berkata, ia menyatakan bahawa hak rakyat Palestin ke atas tanah mereka yang dirampas mesti dikembalikan sepenuhnya, serta pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berlandaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini