PASIR GUDANG: Malaysia akan terus mempertahankan kawasan serta kedaulatan negara, walaupun Filipina meluluskan akta baharu yang menyentuh soal tuntutan terhadap Sabah, selain melanggar sempadan maritim negeri berkenaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Malaysia juga akan kekal mewujudkan ‘show of presence’ (kehadiran) selain melaksanakan ‘Maritime Domain Awareness’ (MDA) di kawasan sempadan perairan negara, mengikut undang-undang antarabangsa.
Katanya, rondaan bersepadu yang dilaksanakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) juga akan diteruskan.
“Namun Malaysia juga kekal menggunakan pendekatan utama menerusi diplomasi. Selagi kita boleh berunding, berbincang dan bercakap dengan negara jiran, kita akan guna pendekatan diplomasi.
“Saya percaya keperluan untuk mengeluarkan peta baharu bergantung kepada jika kita rasa ada perubahan pada peta lama.
“Peta kita tetap peta kita. Kita memang tak ubah (peta) tetapi yang ubah mereka. Dari semasa ke semasa mereka ubah peta sehingga termasuk pula kawasan kita.
“Malaysia memang tak ada nak ubah peta, kita hanya ubah peta bila kawasan baharu nak dimasukkan. Bagaimanapun, kita tetap akan pertahankan kawasan dan kedaulatan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Serahan Zakat Wakalah Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol), di sini, hari ini. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Azizul Azily Ahmad.
Khamis lalu, Malaysia menghantar nota bantahan kepada Filipina susulan negara itu meluluskan dua akta baharu yang menyentuh soal tuntutan terhadap Sabah, selain melanggar sempadan maritim negeri berkenaan.
Minggu lalu, Presiden Marcos Jr dilapor menandatangani dua undang-undang baharu itu bertujuan memperkukuh tuntutan negara itu ke atas Laut China Selatan yang dipertikaikan dengan mentakrifkan zon maritim dan laluan laut.
Dua undang-undang baharu itu menuntut hak maritim serta kedaulatan ke atas kawasan dipertikaikan di Laut China Selatan.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, berkata akta baharu itu juga menetapkan persempadanan baharu Filipina yang melangkaui peta Malaysia yang dibuat pada 1979.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.