comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia tekankan keperluan segerakan gencatan senjata di Gaza

Oleh: Hilmi Abdul Malik

DOHA: Malaysia menzahirkan penekanan terhadap keperluan untuk menyegerakan gencatan senjata melibatkan peperangan antara Israel dan Palestin.

Perkara itu dibincangkan menerusi pertemuan dua hala Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan bersama rakan sejawatnya, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani yang juga merangkap Perdana Menteri Qatar.

Wisma Putra menerusi Facebook menyatakan, Malaysia turut menzahirkan penghargaan di atas komitmen Qatar yang memainkan peranan penting dalam rundingan damai membabitkan Hamas dan Israel.

“Kedua belah pihak menekankan keperluan gencatan senjata segera yang kekal dan menekankan kepentingan rundingan yang sedang berlangsung.

“Ucapan YAB Perdana Menteri semasa lawatan rasmi beliau ke Jerman dilihat sebagai titik perubahan pandangan komuniti global terhadap tindakan agresif dan genosid Israel terhadap Palestin,” memetik hantaran Facebook Wisma Putra hari ini.

Dalam pada itu, pertemuan berkenaan turut menyentuh mengenai peranan Malaysia yang akan mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN – GCC semasa Kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun 2025.

“Perkara utama yang dibincangkan semasa kunjungan hormat ini tertumpu dalam mengukuhkan hubungan dua hala melalui Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi (HLJC) dan Perjanjian Jaminan Pelaburan (IGA).

“Menteri Luar turut memanjangkan jemputan kepada TYT Perdana Menteri Qatar untuk melawat Malaysia,” memetik hantaran itu lagi.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual tiba di Qatar pada jam 9 malam waktu tempatan atau jam 2 pagi waktu Malaysia bagi meneruskan lawatan rasminya ke negara itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini