Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Malaysia sedang meneliti usaha di negara lain termasuk dari sudut perundangan bagi mengatasi isu keselamatan dalam talian membabitkan penggunaan media sosial.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ini termasuk melihat tindakan Australia yang akan menggubal undang-undang menetapkan had usia minimum kanak-kanak menggunakan media sosial.
“Waktu ini kita juga akan meneliti usaha di negara-negara lain, bukan hanya di Australia dalam mengatasi masalah apa yang mereka lihat sedang berlaku dalam media sosial, dalam konteks negara masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Australia akan menggubal undang-undang menyekat akses kanak-kanak menggunakan media sosial dengan menetapkan had usia minimum 16 tahun dan diperkenalkan menjelang akhir tahun ini.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dilapor berkata, larangan berkenaan secara tidak langsung dapat menjauhkan kanak-kanak dari peranti, seterusnya mendorong mereka menghabiskan masa dengan kegiatan lebih berfaedah seperti bermain bola sepak di padang.
Mengulas lanjut, menurut Fahmi, beliau berulang kali membangkitkan isu had umur pengguna media sosial kepada pihak penyedia platform.
Ujarnya, setiap kali perbincangan diadakan, beliau dimaklumkan garis panduan penyedia platform itu sendiri tidak membenarkan kanak-kanak berusia di bawah 13 tahun membuka akaun media sosial.
“Tetapi realitinya kanak-kanak seusia seawal 6, 7 tahun memiliki akaun dalam pelbagai platform media sosial berdasarkan pengamatan saya di lapangan.
“Maka kita lihat platform-platform ada menetapkan had umur tetapi pelaksanaan dasar itu di pihak platform, sangat lemah,” katanya.
Justeru, Fahmi berharap proses pelesenan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi yang berkuat kuasa 1 Januari 2025 akan menyebabkan penyedia platform lebih serius berhubung isu berkenaan.
“Kali terakhir pertemuan diadakan pada 3 September dan belum dapat maklumat penuh hasil sesi libat urus bersama platform tersebut.
“Dalam pertemuan saya pada penghujung Julai lalu, saya percaya mereka faham niat kita dan kepentingan yang kita letakkan pada usaha ini atas dasar menangani masalah jenayah dalam talian yang kita lihat banyak berlaku dalam media sosial.
“Usaha paling utama iaitu menjadikan internet lebih selmaat untuk kanak-kanak dan keluarga,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.