Tumpuan :
Nasional

Malaysia terajui kepengerusian ASEAN bagi isu alam sekitar

KUALA LUMPUR: Malaysia menerajui kepengerusian ASEAN bagi isu melibatkan alam sekitar di rantau ini.

Ia menerusi pelancaran dua mesyuarat utama oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) hari ini yang melibatkan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Alam Sekitar ASEAN (ASOEN) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN (AMME).

Bertemakan ASEAN Satu Suara: Mempercepatkan Tindakan Iklim Demi Penjagaan, Perkongsian dan Keperluan Bersama, NRES komited menggerakkan tindakan kolektif bagi memastikan kelestarian alam untuk generasi akan datang.

Menteri NRES, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata perbincangan itu wajar sebagai usaha bersepadu dalam menangani perubahan iklim.

“Kita berkumpul dalam semangat kesepaduan dalam memperkukuhkan komitmen terhadap isu yang semakin mendesak iaitu perubahan iklim.

“Sebagai satu komuniti, ASEAN perlu bersuara dengan lebih lantang dan tegas dalam arena antarabangsa. Kita mesti memastikan kepentingan rantau ini mendapat perhatian yang sewajarnya dalam perundingan global,” ujar Nik Nazmi.

Melalui kepimpinan ASOEN dan AMME, ASEAN katanya, berhasrat merangka serta melaksanakan dasar, langkah dan program serantau untuk memperkukuh perlindungan alam sekitar dan pembangunan lestari.

“Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk memastikan penganjuran program yang lestari tetapi juga berfungsi sebagai model bagi negara anggota ASEAN dalam melaksanakan amalan kelestarian. Dengan fokus pada pengurangan jejak karbon, penggunaan sumber yang cekap dan pengurusan sisa yang bertanggungjawab, kita dapat membantu mencapai visi ASEAN yang lebih lestari dan inklusif menjelang tahun 2030,” tambahnya.

NRES turut menganjurkan 14 mesyuarat lain dengan rakan dialog ASEAN, termasuk Kesatuan Eropah (EU), China, Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Korea, yang membincangkan isu alam sekitar serta perubahan iklim.

ASOEN dijadualkan berlangsung dari 28 Julai hingga 1 Ogos 2025 di Langkawi, Kedah.

Sementara itu, AMME akan diadakan dari 1 hingga 5 September 2025. Mesyuarat ini bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang alam sekitar, berpandukan Pelan Induk Komuniti Sosio-Budaya ASEAN 2025 (ASSC Blueprint 2025).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini