comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia terima penghargaan tinggi AS atas kerjasama pelaburan Boeing

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

CYBERJAYA: Malaysia menerima penghargaan daripada Amerika Syarikat (AS) atas kerjasama pelaburan yang dibuat oleh pembuat kapal terbang dari negara berkenaan, Boeing di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penghargaan itu dinyatakan oleh Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo menerusi sepucuk surat yang diterimanya hari ini.

“Kebetulan pagi tadi saya dapat surat daripada Setiausaha Perdagangan AS yang menyatakan penghargaan tinggi kepada kita kerana kerjasama membolehkan mereka melabur melalui syarikat Boeing di Kedah.

“Ini kerana mereka yakin akan keupayaan dasar kita walaupun kadang-kadang ada yang bimbang kerana nampak ada sedikit anjakan dari segi dasar luar.

“Saya tekankan bahawa dasar luar negara yang bebas dan merdeka seperti Malaysia harus bebas. Ada yang katakan ‘centrality’ yang menjadi tonggak kepada dasar luar kita dan mengambil sikap yang lebih pragmatik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) di Universiti Multimedia (MMU), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Anwar berkata, Malaysia bertuah kerana menerima pengiktirafan yang lebih baik dari negara luar berbanding sebelum ini.

“Walaupun kita mendekati China kerana keupayaan dan kekuatan China yang lebih segar bugar sekarang ini dan mutakhir dengan Russia kerana keupayaan dalam beberapa teknologi ruang angkasa, tenaga, nuklear yang jauh lebih pantas.

“Kita kekal dengan sahabat tradisional kita termasuk ASEAN, Eropah dan AS,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Boeing membeli sepenuhnya Aerospace Composites Malaysia Sdn Bhd, sebuah usaha sama dengan syarikat bahan industri awam Hexcel Corporation pada Disember 2023.

Kemudahan itu menyediakan produk komposit dan subpemasangan untuk semua model pesawat komersial Boeing termasuk 737 MAX dan 787 Dreamliner, dan juga kemudahan pembuatan milik penuh Boeing yang pertama di Asia Tenggara.

Boeing menggaji kira-kira 1,000 orang yang semuanya merupakan rakyat Malaysia untuk bekerja di kemudahan itu.

Menurut Boeing, sebagai sebahagian inisiatif dalam mengiktiraf kemampuan Malaysia yang semakin berkembang dalam sektor itu, mereka juga mengumumkan pemberian geran pendidikan tinggi bernilai RM44,000 kepada Institut Kemahiran Belia Negara di Jitra, Kedah.

Pemberian geran itu bertujuan untuk melatih 30 penuntut dalam teknologi mesin dan fabrikasi di samping membimbing mereka ke arah peluang pekerjaan dalam industri aeroangkasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini