comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia-Thailand mahu tukar konflik selatan Thailand kepada zon perdagangan

Anwar menerima kunjungan Perdana Menteri Thailand, Sretta Thavisin di Putrajaya hari ini. -Foto: Jabatan Perdana Menteri

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Malaysia dan Thailand komited untuk menoktahkan konflik di sempadan kedua-dua negara dengan menukar ‘kawasan peperangan kecil’ kepada zon perdagangan.

Komitmen itu dinyatakan kedua-dua Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Srettha Thavisin dalam mesyuarat dua hala di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Srettha dalam sidang media sejurus mesyuarat berkenaan berkata, usaha itu sekali gus akan menjadikan kawasan terbabit menjadi pesat.

“Antara isu yang dibincangkan adalah keselamatan negara di utara Malaysia dan selatan Thailand. Ia adalah kebimbangan besar kedua-dua kerajaan. Kami bersetuju untuk menukar ‘zon peperangan kecil’ kepada zon perdagangan.

“Kami berusaha untuk membawa kekayaan kepada penduduk di sana yang juga selaras dengan usaha untuk meningkatkan perniagaan dan perdagangan antara kedua-dua negara,” katanya.

Jelasnya, kedua-dua pemimpin sudah melihat jumlah perdagangan yang signifikan antara kedua-dua negara dan sebagai langkah ke depan, jumlah perdagangan itu perlu ditingkatkan lagi.

Tambahnya, jumlah tersebut adalah sasaran baharu dan berharap ia dapat dicapai dengan agresif dalam masa terdekat.

Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia dan Thailand sepakat untuk menubuh beberapa pasukan petugas bagi memperkasa sektor pertanian, pelancongan serta perdagangan dan perniagaan termasuk sektor keselamatan.

Ujarnya, laporan pasukan petugas itu perlu disiapkan dalam tempoh sebulan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan berkesan.

Sebelum ini, Anwar dalam lawatan kerja ke Thailand pada Februari lalu, mengulangi pendirian Malaysia untuk membantu sedaya mungkin proses rundingan damai konflik selatan Thailand yang berlarutan sejak sekian lama.

Beliau memaklumkan, Malaysia selaku negara jiran dan rakan kepada Thailand, akan mencuba sedaya upaya untuk menyelesaikan beberapa masalah yang tersangkut, termasuk membabitkan konflik selatan Thailand.

Loading...
Terkini