Tumpuan :
Nasional

Malaysia-Thailand puas hati kemajuan keselamatan sempadan

FOTO: Ihsan Khaled Nordin/ Facebook

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Thailand masing-masing berpuas hati dengan kemajuan yang dicapai oleh jawatankuasa-jawatankuasa di bawah kerangka Jawatankuasa Sempadan Am Malaysia-Thailand (GBC MALTHAI).

Ia termasuklah dalam memperkukuh kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Tentera Diraja Thailand dalam menangani cabaran keselamatan sempadan yang dikongsi bersama kedua-dua negara.

Kementerian Pertahanan berkata lawatan rasmi pertama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke Thailand dari 28 hingga 30 Januari menjadi satu langkah penting dalam usaha mengukuh dan mempertingkat hubungan diplomasi antara Malaysia dan Thailand khususnya dalam konteks pertahanan.

Katanya, agenda utama bagi lawatan ini adalah Mesyuarat ke-56 Jawatankuasa GBC MALTHAI yang berlangsung pada hari ini.

“Jawatankuasa ini ditubuhkan berikutan termeterainya Perjanjian Persempadanan Am (General Border Agreement) pada tahun 1964 dan ianya berfungsi sebagai platform utama dalam menguruskan kerjasama persempadanan antara kedua-dua negara.

“Tiga jawatankuasa utama yang beroperasi di bawah struktur GBC ialah Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC), Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) dan Jawatankuasa Latihan Gabungan Bersama Thailand-Malaysia (THAMAL JCEC),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sebelum menghadiri mesyuarat, kementerian berkata, Mohamed Khaled turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kerajaan Thailand, TYT Phumtham Wechayachai, di Kementerian Pertahanan Thailand.

“Perbincangan kedua-dua pemimpin itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama pertahanan, mempromosikan keamanan dan kestabilan serantau, serta memajukan mekanisme keselamatan sedia ada di peringkat dua hala dan pelbagai hala,” katanya.

Tambah kenyataan itu, Mohamed Khaled turut menjemput Wechayachai untuk menyertai Sesi Permukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM Retreat) yang akan berlangsung di Pulau Pinang dari 25 hingga 27 Februari depan, sempena Malaysia menerajui Kepengerusian ASEAN bagi tahun 2025.

Turut hadir dalam delegasi Malaysia adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali serta pengurusan tertinggi dari Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini