Tumpuan :
Nasional

Malaysia tidak boleh terus selesa biarpun berpendirian neutral

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hadiri Majlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS)

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

PUTRAJAYA: Malaysia tidak boleh terus rasa selesa biarpun berpendirian neutral dalam berhadapan konflik-konflik dunia.

Ini kerana peningkatan penentangan kuasa-kuasa besar dunia boleh menyeret dan seterusnya menjejaskan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dunia tanpa sempadan kini menyebabkan mana-mana negara pun akan terjejas sama sekiranya ada negara yang sedang berperang.

“Mungkin kita neutral tak buat apa-apa, misalnya Korea Selatan dan Korea Utara berperang dan sebagainya, maka tentunya akan menjejaskan kita punya supply chain dan sebagainya.

“Kita banyak barang juga kita buat tempahan dengan Korea, antaranya kita membuat tempahan untuk perolehan kapal terbang KAI, kalau mereka perang, kita tak dapat ataupun lewat.

“Itu untuk pertahanan, belum termasuk untuk lain-lain komponen, supply chain,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), hari ini.

Bagaimanapun ujarnya, negara akan terus mengambil pendirian berkecuali dan neutral, pada masa yang sama berharap tidak akan berlaku mana-mana konflik dalam wilayah dalam dunia hari ini.

“Kita pastikan ia kekal menjadi pegangan dan pendirian negara tetapi negara lain juga menghormati dan tidak mendesak Malaysia untuk tidak menjadi negara yang berkawan dengan semua,” katanya.

Ujarnya lagi, negara juga perlu mempersiapkan pasukan pertahanan yang kuat dan sentiasa bersedia berlandaskan perubahan-perubahan yang berlaku, termasuk kemajuan teknologi yang mengubah cara dan pendekatan peperangan.

Majlis graduasi hari ini melibatkan 270 orang Pegawai Angkatan Tentera (Darat, Laut dan Udara) termasuk Pegawai Angkatan Tentera Negara Asing serta Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) daripada kementerian dan agensi kerajaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini