comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia tuntut akauntabiliti atas pencabulan undang-undang antarabangsa oleh Israel 

FOTO: Reuters

NEW YORK: Malaysia menuntut akauntabiliti atas pencabulan jelas Israel ke atas undang-undang antarabangsa dalam tindakannya di Gaza.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ketiadaan akauntabiliti atas jenayah perang Israel menggugat kesahihan undang-undang antarabangsa dan usaha mengakhiri pendudukan haram Palestin.

Beliau menyatakan ketegasan itu di Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berhubung Situasi di Timur Tengah termasuk Isu Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan di New York bagi hadiri Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berhubung Situasi di Timur Tengah termasuk Isu Palestin. – FOTO: Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan/ Facebook

“Dalam mempertahankan undang-undang antarabangsa dan hak-hak orang tertindas, Malaysia, pada 23 Julai 2023, bersama-sama dengan 56 negara lain, mengemukakan pernyataan bertulis untuk ’Pendapat Penasihat, mengenai akibat undang-undang, pelanggaran berterusan Israel, di wilayah Palestin’ di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Malaysia juga akan mengambil bahagian dalam pendengaran awam, pada 19 Feb,” katanya.

Beliau juga menekankan pendirian Malaysia bahawa tidak sepatutnya berlaku pengecilan wilayah Palestin.

“Setiap usaha untuk merampas tanah mereka, melanggar undang-undang antarabangsa, dan lebih merosakkan, prospek, untuk hidup bersama secara damai,” tambahya.

Beliau juga menunjukkan ketidakupayaan Majlis Keselamatan untuk memanggil gencatan senjata, dengan kegagalan itu sebahagiannya bertanggungjawab untuk apa yang dilihat sebagai lebih seratus hari keganasan di Gaza.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan di New York bagi hadiri Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berhubung Situasi di Timur Tengah termasuk Isu Palestin. – FOTO: Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan/ Facebook

Datuk Seri Mohamad menyatakan Malaysia mendapati sukar untuk percaya bahawa Israel telah dibenarkan melakukan pemboman secara rawak iaitu rumah, tempat perlindungan, laluan evakuasi, dan bahkan pusat perubatan menjadi sasaran bom.

“Purata, 246 warga Palestin dibunuh setiap hari, atau 10 pembunuhan setiap jam. Menurut Agensi Bantuan dan Pekerjaan PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), hingga 1.9 juta orang, atau hampir 85 peratus populasi Gaza dipaksa berpindah.

“Tindakan terancang pembunuhan beramai-ramai yang haram dan tidak bermoral ini, harus membawa kita kepada satu keputusan oleh ahli-ahli Majlis ini. Sudah tiba masanya untuk mengiktiraf, apa yang telah dilakukan oleh Israel, sebagai genosid.

“Dan sudah tiba masanya, untuk menerima Negeri Palestin, sebagai Ahli Penuh Bangsa-Bangsa Bersatu,” tegasnya.

Beliau berkata Malaysia menuntut gencatan senjata segera dan mengutuk pemindahan paksa rakyat Palestin, dan akan terus melakukan segala yang perlu mengikut kemampuan dan haknya untuk menamatkan ketidakadilan dan tindakan yang menyalahi undang-undang ini.

Komuniti antarabangsa harus mengutamakan usaha meningkatkan semua kemudahan yang diperlukan bagi rakyat Palestin.

Akses kepada perkhidmatan asas, adalah hak asasi manusia, yang tidak sepatutnya dikompromi. Hukuman kolektif Israel, terhadap seluruh penduduk Gaza, adalah haram, tidak bermoral, dan harus segera dihentikan, katanya.

Israel melancarkan serangan maut di Semenanjung Gaza sejak Oktober lalu, membunuh sekurang-kurangnya 25,490 rakyat Palestin dan mencederakan 63,354 yang lain.

Serangan Israel menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, selain berdepan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, manakala 60 peratus infrastruktur wilayah itu rosak atau musnah, menurut PBB.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini