comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia, Turkiye tandatangani MOU perkasa kerjasama dalam undang-undang persaingan

Oleh Fahmi Tajuddin

ANKARA: Malaysia dan Turkiye menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memperkasa kerjasama undang-undang persaingan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, MoU itu ditandatangani menerusi kunjungan hormatnya bersama Menteri Perdagangan Turkiye, Prof. Dr. Omer Bolat.

MoU itu melibatkan  Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Turkish Competition Authority (TCA), badan berkuasa persaingan Turkiye.

MOU itu adalah yang pertama ditandatangani oleh MyCC dengan agensi persaingan negara lain.

“MOU bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama antara kedua-dua agensi dalam menghadapi cabaran kompleks dalam penguatkuasaan undang-undang persaingan. Fokus utama kerjasama ini adalah untuk meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan, terutama dalam menangani kes-kes antipersaingan yang dinamik, serta memperluas pertukaran maklumat dan kepakaran dalam pelbagai aspek undang-undang persaingan,

“MOU antara MyCC dan TCA ini adalah langkah penting untuk memperkasa peranan MyCC dalam memerangi isu kartel dan monopoli. Kerjasama ini diharapkan dapat memastikan pasaran yang lebih kompetitif, inovatif, dan memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat melalui persaingan yang sihat,” ujar Datuk Armizan dalam satu kenyataan.

Pertemuan itu antara lain turut membincangkan isu berkaitan tanggungjawab kedua-dua kementerian, termasuk perdagangan dalam negeri, perlindungan pengguna, undang-undang persaingan, dan isu kos sara hidup.

Menurutnya, MoU antara MyCC dan TCA itu adalah langkah penting untuk memperkasa peranan MyCC dalam memerangi isu kartel dan monopoli.

Kerjasama diharap dapat memastikan pasaran yang lebih kompetitif, inovatif dan memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat melalui persaingan yang sihat.

Tambahnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited untuk terus memastikan pembangunan ekonomi yang seimbang dan melindungi kepentingan pengguna.

Kementerian akan terus berusaha untuk mewujudkan pasaran yang adil dan terbuka, di mana persaingan yang sihat dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini