comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia umum tambahan bantuan kemanusiaan RM10 juta kepada Palestin

Foto: Reuters

KUALA LUMPUR: Bagi terus menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin, Malaysia hari ini menambah bantuan kemanusiaan berjumlah RM10 juta.

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini sebagai tambahan daripada dana Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) seperti diumumkan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, semalam.

“Saya juga menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) membantu warga Palestin dengan menghulurkan dana sebanyak RM10 juta.

“Saya juga menggesa syarikat-syarikat serta orang ramai untuk ikut serta demi prinsip keadilan dan kemanusiaan sejagat dalam membantu warga Palestin yang menerima tekanan hebat dari rejim Israel,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.

Kelmarin, Malaysia menyerahkan sumbangan awal RM1 juta daripada AAKRP untuk meringankan beban ditanggung penduduk negara itu susulan pergolakan yang berlaku.

Sumbangan itu diserahkan Zambry kepada Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali di lobi Parlimen.

Anwar berkata, perkembangan mutakhir di Semenanjung Gaza kini bertambah gawat tatkala Israel kini telah mengepung warga Gaza dan Israel telah secara ganas dan biadab ingin menghalau mereka ke selatan semenanjung itu.

Katanya, beliau sudah menghubungi beberapa pemimpin dunia dan menyatakan kesediaan Malaysia menyokong mana-mana usaha sama ada melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) atau apa apa usaha lain menghentikan keganasan di Semenanjung Gaza.

“Kita menyokong apa saja usaha seumpamanya dalam menangani tekanan keganasan oleh Israel dengan tekad supaya kezaliman dan kegilaan itu dihentikan bagi membawa keamanan di Semenanjung Gaza,” katanya.

Loading...
Terkini