comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia-Uruguay tingkat usaha sama aspek keterjaminan makanan 

FOTO: Mohamad Sabu / Facebook

PUTRAJAYA: Malaysia dan Uruguay akan meningkatkan lagi usaha sama dalam aspek keterjaminan makanan termasuk memperkasakan isu-isu halal, fitosanitari dan keselamatan makanan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan memaklumkan, Uruguay turut menyatakan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab perdagangan daging lembu ke rantau ini selari dengan hasrat Malaysia untuk menjadikan negara sebagai gerbang perdagangan kepada negara-negara ASEAN.

Menurut KPKM Malaysia dipelawa meneroka potensi Uruguay sebagai negara sumber baharu bagi pengimportan daging halal dan perkara itu dibincangkan sewaktu kunjungan hormat Menteri Ternakan, Pertanian dan Perikanan Uruguay, Fernando Mattos ke atas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di sini semalam.

“Dalam perbincangan, Mattos memaklumkan bahawa daging merupakan eksport terbesar Uruguay diikuti selulosa, gandum, kacang soya dan beras. Sebagai satu daripada negara pengeksport daging terbesar dunia, Uruguay melihat Malaysia sebagai rakan dagang yang penting dan berpotensi bagi pasaran daging halal,” menurut kenyataan itu.

KPKM memaklumkan Uruguay turut menawarkan kepada Malaysia peluang untuk meluaskan rangkaian negara sumber bagi daging halal import.

Menurut KPKM cadangan itu disambut baik berdasarkan keperluan negara untuk mempelbagaikan sumber import bagi menjamin bekalan makanan negara.

“Industri ternakan ruminan yang besar dengan keupayaan kilang dan teknologi pemprosesan yang kompeten adalah antara kelebihan bagi Uruguay yang pastinya berpotensi untuk menjadi pengeksport daging lembu berkualiti yang utama ke Malaysia,” menurut kenyataan itu.

KPKM memaklumkan Mohamad turut memohon kerjasama pihak Uruguay untuk membekalkan maklumat mengenai keperluan import bagi produk-produk nilai tambah dari Malaysia untuk memasuki pasaran Uruguay seperti produk berasaskan haiwan, telur cecair, makanan haiwan dan vaksin haiwan serta mengalu-alukan kerjasama teknikal dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan kerjasama ini dapat dipertingkatkan.

KPKM memaklumkan pada akhir pertemuan, Datuk Seri Mohamad telah menjemput Mattos ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang dijadualkan pada 11 hingga 22 Sept ini dan turut mempelawa penyertaan Uruguay dalam acara dwitahunan itu.

Mattos berada di Malaysia dalam siri lawatan kerja selama tiga hari sejak 4 Jun lepas dan melakukan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini