Tumpuan :
Nasional

MALBATT 850-12 selamat tiba di Kem Marakah

KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman mengesahkan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 yang bertugas di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), selamat tiba di Kem Marakah.

Ia selepas enam anggota MALBATT mengalami kecederaan dalam insiden serangan Angkatan Pertahanan Israel (IDF) berhampiran Sidon, Lubnan, malam tadi.

Mohammad berkata konvoi terbabit tiba di kem itu pada jam 5.30 petang waktu tempatan (jam 11.30 malam waktu Malaysia).

“Alhamdulillah, konvoi kita selamat tiba pada jam 5.30 petang waktu tempatan.

“Kesemua enam anggota hanya mengalami kecederaan ringan. Mereka sedang berehat di kem,” katanya kepada New Straits Times.

Terdahulu dalam satu kenyataan, ATM memaklumkan bahawa lima anggota MALBATT 850-12 dan seorang lagi MALBATT 850-11 mengalami kecederaan ringan akibat serangan berhampiran Stadium Saida, Lubnan.

Kejadian berlaku ketika konvoi MALBATT 850-12 sedang dalam perjalanan dari Beirut ke Kem Marakah.

Serangan itu dilapor menyasarkan sebuah kenderaan awam dalam perjalanan menuju ke Beirut, namun turut menyebabkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota MALBATT 850-12.

ATM sekali gus memaklumkan, pihaknya akan terus memantau perkembangan situasi berkenaan dengan teliti dan memberikan kemas kini sekiranya perlu.

ATM juga menegaskan komitmen terhadap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Rabu lalu, Malaysia menghantar kumpulan pertama MALBATT 850-12 membabitkan 220 pegawai dan anggota yang diketuai oleh Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh.

MALBATT 850-12 terdiri daripada 82 pegawai dan 772 anggota, dengan tambahan tiga pegawai serta 27 anggota dari Tentera Diraja Brunei, dan seorang pegawai kewangan awam dari Kementerian Pertahanan.

Penugasan itu adalah susulan kepulangan kumpulan MALBATT 850-11 yang telah selesai menjalankan tugas di sana.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini