comscore
Tumpuan :
Nasional

Man On The Run: PM serah kepada Kementerian Komunikasi 

Oleh: Syafiqah Damanhuri

SEPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada Kementerian Komunikasi sama ada perlu mengeluarkan dokumentari ‘Man On The Run’ yang kini ditayangkan dalam aplikasi penstriman Netflix.

Ia susulan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya dokumentari yang menyentuh mengenai skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu tidak ditayangkan di aplikasi dalam talian berkenaan.

“Itu dia orang (Kementerian Komunikasi) akan pertimbangkan,” katanya ketika ditanya media mengenai perkara itu.

Sebelum ini, Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyatakan dokumentari hampir dua jam itu turut bersifat menghina mahkamah kerana perbicaraan masih berjalan.

Peguam itu berkata, pihak yang diwawancara dalam dokumentari itu menyatakan pelbagai perkara terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan yang antara lain bersifat fitnah, subjudis, prejudis dan berat sebelah.

Malah beliau berkata pernyataan terhadap anak guamnya itu belum dan tidak pernah dibuktikan sama ada melalui keterangan dokumentari atau lisan saksi yang dikemukakan dalam mana-mana perbicaraan, termasuk kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dokumentari ‘Man On The Run’ diarah, ditulis dan diterbitkan oleh Cassius Michael Kim serta ditayangkan sejak 19 Oktober tahun lalu.

Ia turut memaparkan temu bual Najib yang menafikan pembabitan dalam skandal terbabit, selain temu bual dengan Perdana Menteri, Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Loading...
Terkini