comscore
Tumpuan :
Nasional

Mandatori pemakaian tali pinggang keledar bagi pengangkutan awam, demi keselamatan – Pakar

Oleh: Fahiz Ariff

KUALA LUMPUR: Penggunaan tali pinggang keledar bukan sahaja boleh mengurangkan risiko kecederaan parah, tetapi juga untuk mengelakkan nyawa pemandu dan penumpang melayang.

Atas dasar itu, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Law Teik Hua berpandangan sudah tiba masanya bagi kerajaan meminda akta sedia ada iaitu Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) (Pindaan 2008) dalam menguatkuasakan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang, khususnya pengangkutan awam darat seperti bas.

Katanya, sebelum ini akta tersebut mengecualikan kenderaan yang mempunyai lebih dari lapan tempat duduk tidak termasuk tempat duduk pemandu.

“Ya, adalah perlu untuk membuat peraturan mandatori memakai tali pinggang keledar bagi penumpang di dalam pengangkutan awam seperti bas.

“Hal ini penting terutamanya aspek keselamatan penumpang dapat dipertingkatkan, sekali gus mengurangkan risiko kecederaan atau kematian melibatkan kes kemalangan jalan raya.

“Justeru, kita memerlukan sokongan jitu masyarakat untuk menjayakan ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain langkah undang-undang, program advokasi terhadap keselamatan jalan raya  dalam kalangan masyarakat juga penting kerana usaha itu boleh memberi kesedaran moral.

“Selain mengemukakan idea pemakaian tali pinggang keledar, melatih pemandu untuk mengenal pasti dan mengatasi situasi bahaya di jalan raya boleh membantu mengurangkan risiko kemalangan.

“Ini termasuklah, latihan praktikal dan ujian persepsi bahaya yang berkala untuk  memastikan pemandu sentiasa berwaspada dan berkemahiran tinggi,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, bagi memastikan eko sistem pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat, penyelenggaraan berkala pengangkutan awam darat  juga wajar dititik-titik beratkan.

“Kenderaan pengangkutan awam mestilah sentiasa diselenggara secara berkala untuk memastikan kenderaan tersebut  berada dalam keadaan baik.

“Pemeriksaan mekanikal yang kerap boleh mengesan masalah teknikal sebelum dia menjadi punca kemalangan,” ujarnya.

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan berita nahas membabitkan bas persiaran dan sebuah treler di Jalan Kuantan-Segamat, Rompin, 9Jun lalu.

Kemalangan itu mengakibatkan empat maut dan 35 lagi cedera di mana ketika kejadian bas terbabit dalam perjalanan membawa rombongan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini