comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir di Johor berkurangan setakat 8 pagi

FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di Johor terus menunjukkan tren penurunan apabila daripada 1,150 orang membabitkan 329 keluarga pada jam 8 malam tadi menjadi 1,130 orang membabitkan 321 keluarga setakat jam 8 pagi ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, semua mangsa banjir itu kini masih ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di lima daerah terjejas banjir di negeri ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Kota Tinggi, Kluang, Segamat dan Batu Pahat mencatatkan jumlah mangsa banjir yang berkurangan, manakala jumlah mangsa banjir di Mersing tidak berubah.

“Jumlah mangsa banjir di Kota Tinggi berkurang daripada 263 orang membabitkan 67 keluarga kepada 255 orang membabitkan 65 keluarga di empat PPS yang masih beroperasi.

“Jumlah mangsa banjir di Kluang pula tinggal 153 orang daripada 41 keluarga yang semuanya hanya ditempatkan di dua PPS.

“Segamat pula berkurang kepada 88 orang daripada 25 keluarga di dua PPS dan Batu Pahat tinggal 23 orang daripada lima keluarga yang berada di satu PPS,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hanya Mersing yang tidak berubah dengan 611 orang daripada 185 keluarga yang ditempatkan di empat PPS.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) Negeri Johor, Jalan Tanah Abang di Mersing serta dua kawasan di Lingkaran Kahang Barat dekat Kluang masih terjejas dengan banjir selepas dinaiki air dan masih ditutup bagi laluan semua jenis kenderaan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) pula tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir di mana-mana kawasan di Johor, namun amaran kuning (waspada) iaitu hujan berterusan dikeluarkan di Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru yang dijangka berlaku sehingga hari ini.

Sementara itu, semua daerah di Johor dilaporkan cerah setakat jam 8 pagi ini.

Loading...
Terkini