Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir di Johor meningkat kepada 2,625 orang

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 2,625 orang membabitkan 761 keluarga yang berlindung di 30 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah, setakat jam 12 tengah hari ini.

Ia berbanding 2,498 mangsa banjir (732 keluarga) di daerah Kota Tinggi, Pontian, Kluang dan Johor Bahru pada jam 8 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, Kota Tinggi masih menjadi daerah paling terjejas banjir di Johor ketika ini.

“Kota Tinggi mencatat pertambahan mangsa banjir daripada 1,172 penduduk (352 keluarga) pada pagi tadi kepada 1,322 orang (390 keluarga) yang ditempatkan di 14 PPS.

“Bagaimanapun di Pontian, jumlah mangsa banjir menurun kepada 716 orang (194 keluarga) berbanding 739 orang (203 keluarga) di 10 PPS.

“Bilangan mangsa banjir di Kluang dan Johor Bahru pula kekal dengan masing-masing 534 orang (161 keluarga) di lima PPS dan 53 orang (16 keluarga) di sebuah PPS,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, air Sungai Kahang yang juga sublembangan Sungai Endau di Kluang, mencapai paras bahaya dengan bacaan 14.68 meter.

Setakat jam 12 tengah hari ini, cuaca di Muar, Mersing dan Tangkak dilaporkan cerah tetapi hujan di Johor Bahru, manakala daerah lain mendung.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini