comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir di Johor meningkat pagi ini, 1 lagi PPS dibuka

 Foto fail / ihsan JBPM.

JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di Johor meningkat lagi setakat jam 8 pagi ini iaitu mencecah 1,197 mangsa daripada 310 keluarga berbanding 1,153 orang daripada 301 keluarga, semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, semua mangsa banjir yang terdiri daripada penduduk di empat daerah terjejas itu kini ditempatkan di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 11 PPS yang dibuka, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Kota Tinggi masih menjadi daerah yang mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 793 orang daripada 197 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS.

“Di Mersing, seramai 277 mangsa daripada 73 keluarga kini ditempatkan di dua PPS yang dibuka.

“Sebuah PPS di Kluang pula menempatkan 84 orang daripada 24 keluarga, manakala sebuah lagi PPS di Johor Bahru pula menempatkan 43 mangsa daripada 12 keluarga,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) Negeri Johor, Jalan Kampung Orang Asli Peta di Mersing masih terputus hubungan, manakala Jalan Mawai Lama di Kota Tinggiditutup untuk semua jenis kenderaan.

Jabatan Metrologi Malaysia (Met Malaysia) pula mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk (lebat) sehingga esok di Mersing dan Kota Tinggi, manakala amaran hujan berterusan tahap waspada di Segamat, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.

Tiada amaran ribut petir dikeluarkan di mana-mana kawasan di negeri ini dan semua daerah di Johor juga dilaporkan cerah setakat jam 8 pagi tadi.

Laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula menunjukkan paras Sungai Kahang di Kluang sudah melepasi aras bahaya, manakala Sungai Muar di Segamat, Sungai Lenik, Sungai Sembrong di Batu Pahat, Sungai Johor di Kulai, Ayer Hitam di Pontian, Sungai Sedili Besar di Kota Tinggi dan Sungai Jemaluang di Mersing melepasi aras waspada.

Loading...
Terkini