Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir di Kelantan kekal 40 orang, 1 sungai lepasi paras amaran

Foto hiasan

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan tengah hari ini kekal 40 orang daripada 11 keluarga yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Bachok.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Kolonel (PA) Mohd Adzhar Mujab, berkata semua mangsa masih berlindung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor.

“Keadaan cuaca pada hari ini amat cerah selain tidak ada hujan dan air mulai surut.

“Bagaimanapun mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing mengikut situasi cuaca dan banjir serta nasihat daripada jawatankuasa pengurusan bencana,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, berdasarkan portal publicinfobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Golok di Rantau Panjang melepasi paras amaran dengan bacaan 8.68 meter (m) berbanding paras amaran 8m.

Dua lagi sungai melepasi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Melor di Jambatan Melor dengan bacaan 7.74 m dan Sungai Semerak di Pasir Puteh 2.05m.
Selain itu, semua sungai lain direkodkan berada pada paras normal.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula daripada 5 November lalu hingga Mac 2025 dengan jangkaan lima hingga tujuh episod hujan lebat berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini