comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir di Perak kekal 83 di 3 PPS

Anggota APM melakukan tinjauan di kawasan kampung sekitar Mukim Beriah di daerah Kerian yang masih dilanda banjir. -Foto Ihsan APM

TELUK INTAN: Mangsa banjir di Perak pagi ini kekal 83 orang daripada 23 keluarga yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah.

Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak melaporkan Kerian adalah daerah paling terjejas dengan 75 mangsa daripada 22 keluarga ditempatkan di dua PPS, setakat jam 8 pagi ini.

Daripada jumlah itu, 18 orang (tiga keluarga) berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak yang dibuka 24 Oktober lalu susulan banjir melanda Kampung Matang Tengah, Kampung Changkat Lobak dan Kampung Beriai.

Di PPS SK Alor Pongsu yang dibuka 30 Oktober lalu pula, menempatkan seramai 57 orang (19 keluarga) susulan banjir yang masih belum pulih di Kampung Selekoh, Kampung Parit Air Hitam 2 dan Kampung Parit Ali Kalang.

Sementara di daerah Kinta, PPS Dewan Orang Ramai Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Taman Meru Ipoh mula beroperasi Isnin lalu, bagi menempatkan mangsa ribut yang kini dihuni lapan mangsa daripada satu keluarga sahaja.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak melaporkan paras air Sungai Bidor di Changkat Jong kini beransur surut dengan bacaan pagi ini mencatatkan 3.15 meter (m), iaitu melepasi paras berjaga-jaga 3.10m.

Ia adalah perkembangan positif selepas lebih dua minggu Sungai Bidor berada pada paras bahaya serta amaran.

Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak turut melaporkan penutupan jalan persekutuan di beberapa daerah berikutan situasi banjir semasa.

Di Kerian, FT147 Jalan Selama ditutup kepada semua jenis kenderaan berikutan kenaikan paras air di jalan terbabit, pengguna dinasihatkan menggunakan jalan alternatif A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah.

Di Hilir Perak, A129 Jalan Langkap-Air Hitam dipasang papan amaran sementara, penggunaan diminta menggunakan jalan alternatif FT058.

Di Batang Padang, JKR Perak sedang menyegerakan kerja-kerja pembaikan bahu jalan di FT1152 FELDA Trolak Selatan yang runtuh memandangkan ia adalah jalan utama. Jalan dibuka satu lorong untuk kenderaan ringan sahaja.

Pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) sudah dibuat oleh JKR Perak di FT001 Jalan Ipoh-Tanjung Malim dengan jalan dibuka satu lorong kepada semua jenis kenderaan.

Di Selama, JKR Perak sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan di A021 Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan dan jalan dibuka untuk semua kenderaan. Bagi mengelakkan kesesakan, pengguna dinasihatkan menggunakan jalan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid.

Loading...
Terkini