comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir Johor meningkat sedikit setakat jam 4 petang

Situasi banjir di Mersing ketika ini

JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di Johor sedikit meningkat setakat jam 4 petang tadi selepas Mersing membuka pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan penduduk yang terjejas dengan banjir di daerah itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa banjir di Johor setakat jam 4 petang adalah seramai 4,666 orang membabitkan 1,283 keluarga berbanding 4,630 orang membabitkan 1,280 keluarga, tengah hari tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, semua mangsa banjir itu kini ditempatkan di 35 PPS yang masih beroperasi.

“Situasi banjir di Kota Tinggi, Segamat dan Batu Pahat menunjukkan perkembangan yang baik apabila jumlah mangsa banjir semakin berkurangan, malah masing-masing satu PPS di Segamat dan Batu Pahat sudah ditutup.

“Kota Tinggi kini mencatatkan jumlah mangsa banjir seramai 3,849 orang daripada 1,058 keluarga yang ditempatkan di 24 PPS, manakala mangsa banjir di Segamat kini hanya seramai 89 orang daripada 26 keluarga di dua PPS dan Batu Pahat dengan 79 mangsa daripada 21 keluarga di satu PPS.

“Mersing sahaja yang bertambah jumlah mangsa seramai 219 orang daripada 57 keluarga yang ditempatkan di empat PPS,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Azmi, Johor Bahru masih kekal dengan mangsa banjir seramai 80 orang membabitkan 19 keluarga di satu PPS yang masih beroperasi dan Kluang juga tidak berubah dengan 350 mangsa daripada 102 keluarga yang semuanya masih ditempatkan di tiga PPS.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) pula tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir di mana-mana kawasan di Johor, namun amaran jingga (buruk) iaitu hujan lebat berterusan dikeluarkan di Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi dijangka berlaku Ahad ini.

Selain itu, amaran kuning (waspada) iaitu hujan berterusan dikeluarkan di Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru juga dijangka berlaku Ahad ini.

Sementara itu, semua daerah di Johor masih dilaporkan hujan setakat jam 4 petang tadi.

Loading...
Terkini