comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir kekal 102 orang di Perak, Kerian paling terjejas

FOTO: NSTP

TELUK INTAN: Setakat 8 pagi ini, jumlah mangsa banjir di Perak kekal 102 orang membabitkan 29 keluarga di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah.

Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak melaporkan Kerian adalah daerah paling terjejas dengan 75 mangsa daripada 22 keluarga.

Kesemua mangsa berkenaan ditempatkan di dua PPS iaitu masing-masing 18 orang (tiga keluarga) di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan 57 orang (19 keluarga) di PPS SK Alor Pongsu.

Ia diikuti daerah Hilir Perak dengan 18 mangsa (lima keluarga) ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak.

Di Kinta, PPS Dewan Orang Ramai Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Taman Meru Ipoh mula beroperasi Isnin lalu bagi menempatkan mangsa ribut kini dihuni sembilan mangsa (dua keluarga).

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak melaporkan paras air Sungai Bidor di Changkat Jong, di sini, mencecah 3.30 meter (m), melepasi paras amaran 3.22m.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak turut melaporkan penutupan jalan persekutuan di beberapa daerah berikutan situasi banjir semasa.

Di Kerian, FT147 Jalan Selama ditutup kepada semua jenis kenderaan berikutan kenaikan paras air di jalan terbabit, dan pengguna dinasihatkan menggunakan jalan alternatif A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah.

Di Hilir Perak, A129 Jalan Langkap-Air Hitam dipasang papan amaran sementara, penggunaan diminta menggunakan jalan alternatif FT058.

Di Batang Padang, JKR Perak sedang menyegerakan kerja-kerja pembaikan bahu jalan di FT1152 Felda Trolak Selatan yang runtuh dan laluan satu lorong dibuka untuk kenderaan ringan sahaja.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini