Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir pilih kekal di PPS, bimbang air naik semula

Penduduk Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong, Kemaman hari ini pulang membersihkan rumah selepas banjir surut ketika tinjauan. Majoriti penduduk pilih bermalam di PPS kerana bimbang banjir malam berikutan cuaca ketika ini masih tidak menentu. – Foto NSTP

CHUKAI: Seramai 2,102 penghuni Perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Telok Kalong yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka banjir, memilih untuk tidak pulang ke rumah walaupun bah surut sepenuhnya pagi semalam.

Mereka mengambil keputusan tinggal di PPS kerana bimbang kawasan berkenaan dinaiki air semula berikutan keadaan cuaca tidak menentu.

Penduduk, Mohd Afikfi Mohd Khalipani, 32, berkata, dia dan isteri, Normawati Abdullah, 29, serta tiga anaknya memilih tinggal di PPS kerana bimbang air naik semula.

“Kami hanya pulang membersihkan rumah dan barangan serta perkakas rumah yang diselaputi lumpur sebelum kembali semula ke pusat pemindahan pada waktu malam,” katanya.

Suri rumah, Tuan Rafidah Tuan Arifin, 40, berkata, dia dan suami, Mohd Firdaus Abdullah, 45, serta tiga anak juga memilih untuk bermalam di PPS kerana bimbang kawasan berkenaan dinaiki air ekoran cuaca yang tidak menentu.

“Selagi keadaan cuaca tidak menentu dan PPS masih dibuka, saya rasa lebih selamat kalau kami anak beranak bermalam di pusat pemindahan dan pulang apabila banjir pulih sepenuhnya,” katanya.

Sehingga jam 12 tengah malam tadi, seramai 2,561 penduduk di tiga kawasan dalam daerah Kemaman iaitu Cukai, Kijal dan Kemasik masih berada di lima PPS iaitu Dewan Abdul Rahman Limbong, Telok Kalong (2,102), SK Kemasik (400), Balairaya Padang Kemunting (29),Balairaya Beris Nenas (19) dan Balairaya Meraga Beris seramai 11 mangsa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini