
KUCHING: Mangsa banjir di Sarawak yang memerlukan bantuan membersihkan rumah selepas bencana pulih disaran menghubungi sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi mendapatkan bantuan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meringankan beban mangsa banjir, selain bantuan makanan dan kewangan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) turut bersedia menghantar sukarelawan, khususnya daripada sayap Pemuda parti, bagi membantu kerja-kerja pembersihan jika diperlukan.
“Syukur keadaan banjir kini semakin beransur pulih. Air pasang besar pun sudah berakhir manakala hujan pula sudah kurang.
“Masing-masing sudah boleh mula balik ke rumah dan jika memerlukan bantuan untuk membersihkan rumah dan sebagainya atau tiada kemampuan untuk melakukannya, bolehlah berhubung dengan sekretariat,” katanya ketika ditemui selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Haji Kamaruddin di Kampung Segedup, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata dan Panglima 3 Briged Infantri Malaysia, Brig Jen Sauffi Omar.
Fadillah berkata, sepanjang tempoh banjir luar biasa melanda hampir seluruh negeri sejak Rabu lalu, pihak berkuasa turut menerima aduan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan pelbagai perkara.
Bagaimanapun katanya, situasi itu biasa berlaku dalam apa jua krisis dan ia dapat ditangani dengan baik oleh JPBN Sarawak.
Beliau mengakui banjir kali ini cabaran besar bagi semua pihak di Sarawak kerana pertama kali keadaan luar biasa itu berlaku.
Justeru katanya, situasi itu harus dijadikan pengajaran bukan sahaja kalangan agensi kerajaan tetapi juga masyarakat harus sentiasa bersiap siaga menghadapi bencana luar jangka.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.