KUCHING: Jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah di negeri ini meningkat kepada 15 pagi ini dengan 14 daripada menempatkan mangsa banjir yang keseluruhannya kini seramai 1,097 orang.
Dua lagi PPS yang masih aktif masing-masing menempatkan mangsa tanah runtuh dan kebakaran rumah panjang.
Jumlah keseluruhan mangsa ditempatkan di PPS kini seramai 1,097 orang daripada 294 keluarga.
Daripada 14 PPS mangsa banjir, Serian mencatat jumlah tertinggi dengan lapan PPS, Bintulu (2), Kuching (2), Samarahan (1) dan Miri (1).
Lapan PPS di Serian ialah Dewan Masyarakat Balu Gambang Tebakang Bidayuh yang menempatkan 11 mangsa, Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Tebakang (33), Dewan Slabi Entukuh (35), Balai Raya Betong Kanowit (25), SK Pangkalan Sorak (60), Dewan Kampung Lintang Baru (166), Dewan Masyarakat Serian (16) dan SK Tanah Merah (163).
Di Kuching dua PPS mangsa banjir ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Batu Kawa (145) dan Dewan Pangkalan Bau (17); di Samarahan pula Dewan Mesra Simunjan, manakala di Miri, PPS dibuka di Pusat Bulan Sabit Merah (6).
PPS Dewan Datuk Aaron di Kanowit pula menempatkan seramai 71 mangsa kebakaran rumah panjang, manakala PPS Pusat Bulan Sabit Merah di Miri pula menempatkan 133 mangsa tanah runtuh.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran kategori merah hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di Kuching, Serian, Samarahan, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri, hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.