
KUCHING: Jumlah mangsa banjir di Sarawak terus meningkat petang ini dengan seramai 6,718 orang daripada 1,825 keluarga mendapat perlindungan di 46 pusat pemindahan sementara (PPS).
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, dua lagi PPS menempatkan 129 mangsa tanah runtuh di Miri manakala satu PPS menempatkan 37 mangsa kebakaran rumah panjang di Kanowit.
Ia sekali gus menjadikan jumlah PPS yang masih aktif di seluruh Sarawak kini sebanyak 49 dan menempatkan mangsa seramai 6,884 orang daripada 1,865 keluarga.
Daripada 41 PPS mangsa banjir, Serian mencatat jumlah tertinggi dengan 18 PPS, Bintulu (9), Kuching (5), Samarahan (5) dan Miri (8) dan Sibu (4).
Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan lebat dijangka berterusan di seluruh negeri ini esok.
Lapan bahagian iaitu Kuching, Serian, Samarahan, Sarikel (Meradong), Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Bintulu (Tatau dan Bintulu) dan Miri (Subis) kini dalam kategori merah iaitu amaran bahaya dengan hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku.
Enam bahagian pula berada dalam amaran kategori jingga apabila diramal hujan lebat berterusan dijangka berlaku iaitu Sri Aman, Betong, Sarikei (Pakan, Sarikei dan Julau), Sibu (Kanowit), Kapit (Song dan Kapit), Bintulu (Sebauh) dan Miri (Beluru, Miri dan Marudi).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.