comscore
Tumpuan :
Nasional

“Mangsa banjir tak pindah turut dapat BWI”

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – FOTO: NSTP

PITAS: Mangsa banjir yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) akan tetap diberikan Bantuan Wang Ihsan (BWI), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, langkah ini adalah pendekatan baharu yang diambil kerajaan dalam membantu semua mangsa terjejas banjir di negara ini.

“Bagi mereka yang tidak dipindahkan dan masih berada di kawasan rumah masing-masing mungkin kerana rumah itu agak tinggi, tetapi kawasan kelilingnya banjir akan tetap menerima BWI.

“Pendekatan baharu (pemberian wang ihsan) ini mengikuti garis panduan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan juga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pejabat daerah dan kita akan selesaikan nanti,” katanya pada sidang media ketika melawat mangsa banjir dan menyampaikan BWI di Pitas, hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, kelulusan bergantung kepada penelitian pihak pejabat daerah sama ada mangsa berkenaan layak menerima bantuan terbabit atau sebaliknya.

Beliau berkata, sebelum ini hanya mangsa yang mendaftar di PPS diberikan BWI sebanyak RM1,000. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini