Tumpuan :
Nasional

Mangsa bebola mata kiri dikorek warga asing, kini cacat kekal

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad. – FOTO: NSTP

GEORGE TOWN: Lelaki tempatan yang hilang bebola mata kiri akibat dikorek suspek warga asing dalam kejadian di tepi jalan Flat Rathina, Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor dekat sini, pada Sabtu lalu, kini dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa kini masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Keadaan mangsa semakin pulih dan mengalami kecacatan kekal akibat insiden itu.

“Siasatan sedang dilengkapkan bagi mendakwa suspek di mahkamah,” katanya kepada media, hari ini.

Terdahulu, Hamzah menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Timur Laut dan Pengerusi Perkep di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini.

Hamzah berkata, hasil siasatan mendapati berlaku pertengkaran mulut antara mangsa berusia 52 tahun dengan suspek berumur 28 tahun itu sebelum berakhir dengan pergaduhan.

“Punca pergaduhan bermula daripada perselisihan faham antara kedua-dua mereka yang juga jiran perumahan sama.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan ketika kejadian dia dipercayai berada dalam keadaan mabuk.

“Manakala suspek yang juga memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tiada rekod jenayah,” katanya.

Semalam, polis mengesahkan lelaki warga asing yang bertindak mengorek keluar bebola mata kiri seorang lelaki tempatan direman selama empat hari.

Reman terhadap suspek dibenarkan sehingga 20 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini