KUALA LUMPUR: Mangsa banjir di tujuh negeri yang terjejas terus menunjukkan penurunan kepada seramai 44,436 orang membabitkan 13,631 keluarga.
Mereka ditempatkan di 173 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 2 petang tadi.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor membabitkan 15 daerah masih mencatat jumlah mangsa melebihi 1,000 orang ditempatkan di PPS.
Kelantan masih mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 31,125 orang daripada 9,927 keluarga yang ditempatkan di 79 PPS yang membabitkan tiga daerah saja berbanding sebelum ini 10 daerah.
Di Terengganu, banjir melanda tujuh daerah membabitkan 6,157 mangsa daripada 1,493 keluarga di tujuh PPS.
Mangsa banjir di Kedah pula mencatatkan jumlah seramai 5,804 orang daripada 1,826 keluarga yang ditempatkan di 26 PPS di tiga daerah, manakala di Johor pula, 18 PPS di dua daerah dibuka bagi memberi perlindungan kepada 1,002 mangsa daripada 281 keluarga.
Sementara di Melaka, kekal seramai 160 mangsa daripada 41 keluarga ditempatkan di dua PPS yang dibuka di satu daerah terjejas banjir, manakala di Perak pula hanya 164 mangsa daripada 57 keluarga ditempatkan di enam PPS di dua daerah yang terbabit.
Keadaan banjir di Pahang juga berkurangan kepada hanya 24 mangsa membabitkan enam keluarga yang ditempatkan di tiga PPS di tiga daerah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.