KLUANG: Perkelahan empat beradik di jeram Ulu Benut berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka, lemas petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa sempat menjerit meminta tolong, namun dia gagal diselamatkan.
Katanya, Ahmad Ehsan Nor Hisyamuddin,11, disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Simpang Renggam.
“Siasatan awal mendapati kakak mangsa, Nor Najihah, 18, bersama tiga adiknya pergi ke jeram itu untuk berkelah dan lima minit selepas tiba, mangsa yang sedang mandi menjerit meminta tolong, namun tidak dapat diselamatkan.
“Mangsa yang tidak sedarkan diri dibawa ke Klinik Kesihatan Simpang Renggam dan disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dua beradik lagi, Islah, 15; dan Ahmad Fahim, 8, selamat dalam kejadian berkenaan.