comscore
Tumpuan :
Nasional

“Mangsa sepatutnya pulang jam 11 pagi semalam” – Maritim

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan yang dilaporkan tidak kembali ke jeti selepas keluar menangkap ikan.

Oleh: Fazli Ahmad

KUANTAN: Seorang nelayan warga emas dilaporkan hilang ketika menangkap ikan pada jarak kira-kira 1.5 batu nautika Timur Laut Kuala Pahang, dekat sini semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang, Laksamana Pertama (Maritim) Kamal Ariffin Jusoh berkata, mangsa, Mohamed Romlan Abdul Rani, 66, dilaporkan keluar menangkap ikan menggunakan bot fiber kira-kira jam lima pagi semalam.

Menurutnya, mangsa sepatutnya kembali ke Jeti Nelayan Kuala Pahang jam 11 pagi semalam tetapi tidak pulang hingga malam tadi.

Katanya, Maritim Malaysia menerima laporan mengenai kehilangan mangsa pada jam 8:45 malam tadi dan operasi mencari dan menyelamat mangsa dilancarkan sejurus mendapat maklumat.

“Pencarian mangsa turut dibantu nelayan tempatan tetapi hingga kini belum menemui sebarang petanda,”

“Kawasan pencarian juga sudah diperluaskan kepada 43 batu nautika persegi.” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau turut menasihatkan komuniti maritim melakukan aktiviti di laut sentiasa mengutamakan aspek keselamatan termasuk memakai jaket keselamatan dan menggunakan peranti ‘Personal Locator Beacon’ (PLB).

Loading...
Terkini