comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa terakhir bot karam di jeram Long Menjawah ditemui

Mangsa kedua tragedi bot panjang yang karam di jeram Long Menjawah di sini ditemui lemas.

BELAGA: Seorang lagi mangsa bot panjang yang karam di jeram Long Menjawah di sini ditemui lemas.

Mayat Rhuban Apparoo, 30, ditemui orang awam arah hilir Rumah Kejaman Neh, Long Liten iaitu sejauh 18 kilometer dari lokasi kejadian bot berkenaan karam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan mangsa kedua itu daripada pihak polis Belaga sekitar jam 8.22 pagi, lalu mengarahkan empat anggota untuk ke lokasi penemuan terbabit.

“Pasukan Bomba seterusnya bergerak ke lokasi dimana mangsa kedua yang telah dijumpai di hilir Rumah Kejaman Neh, Long Liten iaitu sejauh 18 kilometer dari bot karam menggunakan bot pihak Polis Belaga.

“Pada jam 9.50 pagi Pegawai Bomba Kanan II Joel Godes memaklumkan bot Polis bersama anggota Bomba Belaga yang membawa mangsa telah tiba di wharf Belaga dari tempat mangsa telah dijumpai,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakkan selanjutnya.

Dalam kejadian sekitar jam 4.33 petang Ahad lalu, bot yang dinaiki mangsa bersama empat yang lain termasuk jurumudi tempatan karam disebabkan arus deras ketika melalui jeram di Long Menjawah, Belaga.

Bagaimanapun tiga daripada penumpang bot terbabit berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian berkenaan.

“Jurumudi bot berusaha menyelamatkan kesemua penumpang namun dua orang penumpang hanyut dibawa arus deras,” katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamatkan hari kedua semalam berjaya menemui mangsa pertama Balavishnu Permaloo, 36, pada jarak 50 meter dari lokasi kejadian bot karam terbabit.

Kedua-dua mangsa berasal dari Padang Serai, Kedah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini