comscore
Tumpuan :
Bencana

[VIDEO] Mangsa terakhir dibenar pulang, banjir di Johor pulih sepenuhnya

Mangsa banjir di PPS Dewan Orang Ramai Yong Peng mengemas barangan selepas dibenarkan pulang tengah hari ini. – FOTO: Ihsan APM

BATU PAHAT: Selepas hampir sebulan berteduh di pusat pemindahan sementara (PPS), 141 mangsa banjir di Sri Medan dan Yong Peng, di sini, akhirnya dibenarkan pulang jam 12 tengah hari ini.

Dua PPS terakhir yang masih beroperasi iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Medan menempatkan 62 mangsa daripada 15 keluarga dan Dewan Orang Ramai Yong Peng mempunyai 79 mangsa daripada 22 keluarga.

Mereka adalah mangsa banjir terakhir yang dibenarkan pulang selepas lebih empat minggu berlindung di PPS berkenaan berikutan bah besar yang melanda negeri ini sejak 28 Februari lalu.

Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Johor memaklumkan, dengan penutupan dua PPS terakhir berkenaan bermakna bencana banjir sudah berakhir secara rasmi tengah hari ini.

“Alhamdulillah, kesemua 141 mangsa banjir terakhir di PPS Sri Medan dan Yong Peng dibenarkan pulang tengah hari ini.

“Terima kasih kepada semua yang terbabit terutama anggota penyelamat, agensi awam dan swasta, sukarelawan serta rakan media yang sama berganding bahu membuat laporan ketika Johor berdepan bencana bah sejak 28 Februari lalu,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.

Banjir besar yang melanda negeri ini sejak 1 Mac lalu dilaporkan berpunca daripada taburan hujan yang luar biasa, hampir dua kali ganda banyaknya daripada jumlah purata hujan bulanan di negeri ini.

Hujan selama dua hari iaitu pada 28 Februari dan 1 Mac lalu dilaporkan melebihi rekod jumlah hujan untuk tempoh sebulan, sekali gus menyebabkan bencana besar antara terburuk pernah dialami Johor sejak 1986 dan 2006.

Banjir besar Johor kali ini dilaporkan merekodkan sejumlah 74,453 mangsa daripada 26,376 keluarga di semua 10 daerah dan babitkan 379 PPS.

Loading...
Terkini