KOTA BHARU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menaja pelajar cemerlang untuk menyertai projek khas ke universiti Ivy League bermula tahun depan.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penelitian projek itu sudah di peringkat akhir dan sedang memilih universiti yang bersesuaian.
“Pelajar cemerlang yang terpilih nanti akan dihantar ke mana-mana universiti Ivy League yang diputuskan nanti seperti Harvard, Cambridge dan Oxford.
“Kita akan mulakan projek khas Ivy League ini tahun depan dan kita akan lihat sama ada projek ini masih relevan atau tidak kepada negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun nanti,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, peruntukan tajaan adalah dari kerajaan dan beliau berterima kasih kepada Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menambah peruntukan besar kepada MARA tahun ini.
Beliau berkata, kepercayaan kepada MARA itu akan dimanfaatkan untuk anak bangsa dengan tatakelola, tadbir urus dan integriti yang baik.
“Setiap sen duit rakyat akan dipastikan melalui proses sewajarnya agar tak berlaku pembaziran dan keciciran,” katanya.
Terdahulu beliau hadir dalam majlis penutup International Conference on Teacher Education 2024 (ICTE’ 24) yang dianjurkan di sebuah hotel di sini.
Dalam perkembangan lain, MARA sudah menghantar 4,577 pelajar ke luar negara untuk tahun ini dengan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM2 bilion.
“Kursus pengajian yang diambil adalah bidang strategik yang diperlukan negara seperti penggunaan internet pelbagai benda (IoT), kejuruteraan serta Sains Komputer.
“Kita sudah banyak mengeluarkan doktor dengan kos lebih rendah jadi kita tak hantar tapi di peringkat pakar kita hantar,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.