comscore
Tumpuan :
Nasional

MARA tamatkan kontrak pengusaha dewan selera MRSM Taiping, bawa kes ke mahkamah

KUALA LUMPUR: Kontrak pengusaha dewan selera Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, sudah ditamatkan selepas mereka gagal menjawab notis remedi yang dikeluarkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) sehingga tamat tempoh pada jam 5 petang semalam.

Berikutan itu, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya akan mengemukakan saman dan menuntut ganti rugi di mahkamah terhadap kontraktor itu yang melanggar kontrak dalam penyediaan makanan kepada pelajar.

Beliau berkata, notis remedi dikeluarkan kepada kontraktor pada 4 September lalu, selepas kes keracunan makanan berlaku secara berulang di dewan selera MRSM Taiping, disusuli dengan tinjauan mengejut dilakukannya sendiri yang mendapati keadaannya terlalu kotor, selain kontraktor gagal mematuhi menu yang perlu disediakan kepada pelajar.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil terhadap kontraktor terbabit sebagai pengajaran kerana MARA tidak akan berkompromi terhadap isu kebajikan, keselamatan dan kesihatan pelajar.

“Kita akan saman dan buat tuntutan ganti rugi terhadap kontraktor itu atas pelbagai kesalahan, termasuk melanggar kontrak, tidak menjaga kebersihan hingga membawa kepada berlaku kes keracunan makanan pelajar MRSM Taiping.

“Ini kes pertama yang akan dibawa ke mahkamah sejak saya menjadi Pengerusi MARA lebih setahun lalu. Saya ingin memberikan isyarat keras dan amaran tegas kepada mana-mana kontraktor dewan selera MRSM yang mahu kaut keuntungan besar hingga menjejaskan kesihatan, mengundang risiko nyawa dan mengabaikan kebajikan pelajar untuk patuhi kontrak serta utamakan nilai kemanusiaan dan keberkatan,” katanya kepada BH, ketika dihubungi di Shanghai, China.

Pada 5 September lalu, Asyraf Wajdi membuat pemeriksaan mengejut ke dewan selera MRSM Taiping, susulan laporan ibu bapa mengenai anak-anak mereka yang keracunan akibat makanan yang disediakan di dewan selera itu.

Dalam ‘terjahan’ itu, beliau menghubungi kontraktor berkenaan, yang memperoleh kontrak sejak dua tahun lalu, dan meluahkan rasa marah selepas mendapati tahap kebersihannya sangat mengecewakan dan menu ditetapkan pihaknya tidak dipatuhi.

Insiden keracunan berkenaan dilaporkan berulang walaupun dewan selera itu pernah diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Perak susulan kejadian keracunan makanan membabitkan 62 pelajar pada 30 dan 31 Ogos lalu.

Ditanya kerugian yang akan dituntut MARA, Asyraf Wajdi berkata, Bahagian Undang-Undang MARA dan panel peguam sedang menilainya secara holistik.

“Saya juga meminta Bahagian Undang-Undang menilai balik terma dalam kontrak supaya diperhalusi dan diperketat bagi memastikan tiada ruang perlakuan curang, culas dan cuai yang membabitkan kebajikan serta keselamatan pelajar.

“Kita perlu ambil tindakan ini kerana jika tidak, kontraktor ambil sikap acuh tak acuh,” katanya.

Mengenai penyediaan makanan di dewan selera MRSM Taiping ketika ini selepas khidmat kontraktor itu ditamatkan, beliau berkata, pihaknya menggunakan khidmat pengusaha katering tempatan untuk sementara waktu sehingga kontraktor baharu dilantik Jawatankuasa Perolehan.

“Walaupun sedang berada di Shanghai (atas lawatan kerja), saya pantau secara langsung termasuk memastikan MRSM membekal dan menyediakan makanan secukupnya kepada pelajar selepas khidmat kontraktor itu ditamatkan,” katanya.

Pada masa sama, Asyraf Wajdi berkata, beliau juga mengarahkan semua MRSM terutama pengetua dan warden atau penyelia asrama melipatgandakan pemantauan terhadap kualiti makanan supaya memenuhi spesifikasi termasuk menu ditetapkan, kebersihan dapur dewan selera dan perkhidmatan kontraktor.

Beliau berkata, perkara itu perlu dilaporkan terus kepada ibu pejabat MARA untuk tindakan susulan.

“Saya sendiri akan turun secara mengejut melalui kaedah terjahan dari semasa ke semasa. Jika ada juga kecuaian pemantauan di pihak pentadbir MRSM, saya akan mempertanggungjawabkan mereka jika berlaku sebarang penyimpangan,” katanya.

Loading...
Terkini