PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melaksanakan projek rintis penggunaan unit kamera badan ketika membantu tugas penghantaran wang ke Pulau Tioman.
Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata selain lima unit kamera badan yang disumbangkan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) itu, Maritim Malaysia juga akan menambah lagi jumlah kamera badan untuk kegunaan Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim dan seterusnya Bahagian Operasi Udara serta Pasukan Tindakan Khas (STAR Team) sebelum digunakan secara menyeluruh oleh anggota di lapangan ketika bertugas.
Menurut Saiful, inisiatif ini dapat menjadi penghalang kepada aktiviti haram serta meningkatkan akauntabiliti yang melibatkan anggota penguat kuasa.
Pada masa sama ia dapat memastikan anggota Maritim Malaysia berada pada tahap standard profesionalisme yang tinggi.
Beliau ditemui pada majlis penyerahan kamera badan oleh BSN kepada Maritim Malaysia di sini hari ini.
Penyerahan kamera badan ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujibburrahman Abd Rashid.
Tambah Saiful, kamera badan yang diberikan oleh BSN dilengkapi dengan teknologi terkini, membolehkan pegawai-pegawai Maritim Malaysia merekodkan bukti audio dan video berkualiti tinggi semasa operasi dijalankan.
Maritim Malaysia yakin dengan pemakaian kamera badan ini, ia akan meningkatkan keupayaan dan memperkukuhkan lagi misi agensi ini dalam melindungi kawasan perairan Malaysia.