comscore
Tumpuan :
Nasional

Maritim Malaysia terima dana RM10 juta baik pulih kuarters

PUTRAJAYA : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menerima suntikan dana RM10 juta bagi kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kuarters daif agensi itu di seluruh negara, bagi tahun ini.

Pengarah Bahagian Pembangunan Maritim Malaysia,  Laksamana Pertama Maritim Datuk  Md Fauzi  Othman berkata peruntukan itu disalurkan daripada Kementerian Kewangan (MoF) melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Dana yang diterima turut melibatkan kerja pembaikan serta baik pulih kuarters milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Kota Kinabalu yang telah diserahkan kepada Maritim Malaysia.

”Sejumlah RM7.4 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kuarters di Maritim Negeri Sarawak serta Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan manakala baki RM2.6 juta adalah untuk kuarters di Batu Pahat, Kemaman serta kuarters di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah, Kuantan”, katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Serahan Surat  Setuju Terima (SST) bagi Projek Senggaraan Kuarters yang dikendalikan oleh Cawangan Prasarana dan Infrastruktur, Bahagian Pembangunan Maritim Malaysia bertempat di Auditorium Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya di sini hari ini.

Projek senggaraan ini merupakan inisiatif kerajaan di bawah Program Pembaikan Kuarters Kerajaan di seluruh Malaysia sekaligus menjaga kebajikan pegawai dan anggota serta ahli keluarga dalam menyediakan  kediaman yang lebih selesa dan kondusif.

Sebanyak 13 Syarikat berjaya dalam Sebut Harga ini telah dipelawa menerima SST bagi kerja-kerja yang akan dijalankan di Maritim Negeri Sarawak serta Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berharap agar 13 syarikat terbabit dapat melaksanakan projek ini dengan telus serta penuh rasa tanggungjawab bagi memastikan dana dibelanjakan sebaik mungkin serta dapat merealisasikan hasrat kerajaan yang sentiasa mementingkan kebajikan penjawat awam dan keluarga dapat dijaga dengan sebaiknya.

Loading...
Terkini