comscore
Tumpuan :
Nasional

Maritim tahan lima kru warga Indonesia ceroboh perairan negara

Bot serta lima kru warga asing yang ditahan Maritim Malaysia Pulau Pinang di perairan Pulau Kendi kerana menceroboh perairan negara. – FOTO: NSTP

GEORGETOWN: Sebuah bot nelayan asing yang dikemudi lima kru warga Indonesia ditahan pihak berkuasa kerana menceroboh perairan negara.

Pemangku Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata, kesemua mereka ditahan ketika pasukan berkenaan melakukan rondaan rutin di Perairan Pulau Kendi, di sini, kelmarin.

Katanya, bot yang tiada nombor pendaftaran itu dikesan bergerak di sekitar kedudukan 37 batu nautika barat daya kawasan terbabit.

FOTO: NSTP

Pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan lima kru warga Indonesia termasuk tekong dan kesemuanya berusia antara 12 hingga 35 tahun.

“Kesemuanya ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti tangkapan ikan di kawasan perairan Malaysia.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Nak Rong, kesemua kru berkenaan direman 14 hari bagi membantu siasatan manakala bot serta hasil tangkapan ikan dirampas serta dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung bagi tindakan lanjut.

“Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan atau cubaan menangkap ikan di dalam perairan Malaysia dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki permit atau pas yang sah,” katanya.

Loading...
Terkini