Tumpuan :
Nasional

Markah minimum pegawai memangku, dinaikkan dari 80 ke 85 peratus

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Penetapan wajaran markah minimum keseluruhan bagi urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat pegawai perkhidmatan awam dinaikkan kepada 85 peratus dan ke atas berkuat kuasa 1 Disember depan.

Perkara itu dimaklumkan melalui surat pekeliling yang dikeluarkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz bertarikh 8 November lalu.

Dalam surat yang turut dimuat naik di laman web Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), KPPA memaklumkan penetapan itu dibuat berdasarkan wajaran ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Ceraian UP.3.1.1: Pengurusan Pemangkuan dan Kenaikan Pangkat Dalam Perkhidmatan Awam.

Ia menetapkan markah prestasi pada tahun terakhir hendaklah mencapai sekurang-kurangnya 85 peratus.

“Selaras dengan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa mulai 1 Disember 2024, kerajaan bersetuju supaya penetapan wajaran markah minimum keseluruhan bagi urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat pegawai perkhidmatan awam ditingkatkan kepada 85 peratus dan ke atas bagi tiga tahun terakhir dengan markah prestasi pada tahun terakhir hendaklah mencapai sekurang-kurangnya 85 peratus.

“Pelaksanaan berhubung dengan ketetapan ini berkuat kuasa mulai 1 Disember 2024. Dengan berkuat kuasanya surat edaran ini, Surat JPA(S)K.256/6/27 Klt.2 / s.k 2(4) bertarikh 3 Julai 2009 mengenai Penetapan Wajaran Markah Prestasi Bagi Urusan Pemangkuan/ Kenaikan Pangkat Pegawai Perkhidmatan Awam adalah dibatalkan,” katanya.

Pekeliling itu turut memberitahu, wajaran markah minimum keseluruhan bagi urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat pegawai perkhidmatan awam persekutuan semasa adalah pada kadar 80 peratus.

Ia menggunakan merit markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) bagi tiga tahun terakhir berturut-turut dengan markah keseluruhan 80 peratus ke atas dan kaedah penilaian lain seperti temu duga, kursus, kriteria kecemerlangan dan bakat.

Tambahnya, urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat yang dibuat sebelum 1 Disember ini dan masih belum selesai hendaklah terus diuruskan mengikut Surat JPA(S)K.256/6/27 Klt.2 / s.k 2(4) bertarikh 3 Julai 2009.

Surat terbabit turut diedarkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

Ia bagaimanapun tertakluk kepada penerimaan pihak berkuasa dan kelulusan Lembaga Kenaikan Pangkat masing-masing.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini