comscore
Tumpuan :
Nasional

Olimpik Paris: Masa bertanding kian hampir, atlet dinasihat lebih berhati-hati – Chef De Mission

KUALA LUMPUR: 17 hari sahaja lagi sebelum temasya terbesar di dunia Sukan Olimpik membuka tirainya di Paris, kontinjen negara diharap agar menjaga keadaan diri mengelak ditimpa musibah saat akhir.

Saranan itu diberikan Ketua kontinjen, Datuk Hamidin Mohd Amin yang tidak mahu ada dikalangan mereka berdepan risiko kecederaan selepas ini.

“Kadang-kadang kecederaan ini tak dapat dielakkan, nasihat saya kepada atlet, ada 17 hari lagi jadi kita harap mereka dapat menjaga kesihatan ataupun berhati-hati sedikit untuk dalam latihan sebelum bermulanya olimpik ni, kalau tidak kita kerugian pula kerana cedera dan tidak dapat bermain” katanya merujuk kepada situasi menimpa pelumba berbasikal lebuh raya wanita negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir.

Beliau mengakui semua atlet berada dalam fasa memuncak dan ingin memberikan komitmen tinggi sebagai persiapan terbaik sebelum memulakan pertandingan.

Prospek pingat seperti Lee Zii Jia dan Datuk Mohd Azizulhasni Awang termasuk 24 atlet lain semestinya sedang berusaha gigih tetapi harus berjaga-jaga apabila berada di fasa genting ketika ini.

Pada 12 Jun, Nur Aisyah yang sedang menjalani program persediaan di Belgium terlibat dalam kemalangan kecil namun disahkan mengalami kecederaan ringan.

Pelumba berusia 27 tahun itu kini pulih dan sudah menyertai lima perlumbaan selepas kejadian itu.

Malaysia bakal menyertai temasya olimpik buat kali ke-17 diwakili seramai 26 orang atlet dari 10 sukan bermula 26 Julai hingga 11 Ogos.

Loading...
Terkini