comscore
Tumpuan :
Nasional

Masalah keluarga, bekerja faktor calon SPM tak hadir peperiksaan

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Masalah keluarga dan terikat dengan kerja antara faktor menyebabkan 10,160 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu akhir tahun lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, selain itu, ada calon yang kemalangan dan sakit menjadi punca ketidakhadiran luar kawalan yang dikenalpasti oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Katanya, daripada 10,160 orang calon yang tidak hadir menduduki SPM 2023, seramai 8,676 adalah calon sekolah KPM.

“Seramai 1,263 orang adalah calon persendirian dan baki 221 orang adalah calon lain termasuk calon sekolah di bawah agensi kerajaan, Sekolah Menengah Agama Negeri, Sekolah Menengah Agama Rakyat dan sekolah swasta,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang ingin mengetahui tindakan KPM bagi mengatasi isu 10,160 calon SPM 2023 yang tidak hadir bagi menduduki peperiksaan.

Kah Woh berkata, bagi mengatasinya, KPM sentiasa berusaha meningkatkan kehadiran murid ke sekolah dan juga kehadiran murid ke SPM dengan beberapa intervensi.

Antaranya katanya, dengan mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 1 Tahun 2019: Panduan Pengurusan Rekod Sistem Kehadiran Murid Di Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menegaskan rekod kehadiran murid, anak-anak ke sekolah.

“Selain itu, memberi peringatan kepada jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD) untuk memantau kehadiran.

“Serta mengoptimumkan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah melalui program pembangunan diri murid dan mengetengahkan pempengaruh pendidikan atau ‘edufluencer’ berkepakaran dalam bidang bimbingan dan kaunseling bagi berkongsi ilmu dan juga pengalaman,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini