comscore
Tumpuan :
Nasional

Masjid 100 tahun berisiko runtuh

KUALA BERANG: Masjid Kampung Lerek, di sini, yang sudah berusia lebih 100 tahun berisiko runtuh memandangkan struktur atas bangunan berkenaan sudah reput dimakan anai-anai.

Kebimbangan disuarakan jemaah masjid berkenaan berikutan atap yang sudah lama menyebabkan berlaku kebocoran sehingga ruang masjid dibasahi air hujan.

Akibat kebocoran juga, siling masjid rosak, malah ada yang sudah reput menunggu masa untuk jatuh ke lantai.

Pengerusi masjid, Abdullah Mohd Zain, 70, berkata, bumbung asal yang diperbuat daripada kayu tidak pernah diganti baharu sejak masjid berkenaan dibina penduduk lebih 100 tahun lalu.

Menurutnya, pihaknya juga sudah membuang beberapa siling yang rosak teruk yang bila-bila masa saja boleh jatuh.

“Kos untuk mengganti siling, bumbung dan atap sangat tinggi. Kami tidak mampu. Kutipan tabung masjid pun tidak seberapa.

“Memang kami sangat mengharapkan sumbangan, sama ada kerajaan negeri, agensi swasta, NGO atau orang perseorangan untuk tujuan itu.

“Masjid ini hanya nampak gah di luar saja tetapi dalaman terutama bahagian atas sudah banyak yang rosak,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, pendawaian masjid  itu  juga sudah lama dan perlu diganti baharu kerana dibimbangi berlaku litar pintas.

“Sejak dulu, ia (pendawaian elektrik) baharu sekali ditukar, itupun sudah lebih 20 tahun.

“Bangunan ini dicat baharu kira-kira dua tahun lalu menggunakan hasil sumbangan orang ramai dan orang perseorangan serta duit tabung masjid.

“Kami jawatankuasa masjid sangat mengharapkan ada pihak yang sudi membantu,” katanya.

Kampung Lerek terletak jauh di pedalaman dengan 500 orang penduduk.

Loading...
Terkini