comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Masjid Abu Hurairah santuni musafir

Pengunjung boleh menikmati pelbagai hidangan selepas menunaikan solat terutama pada hari Jumaat, Sabtu, Ahad serta cuti umum bermula jam 3.00 petang sehingga jam 8.00 malam di Khemah Musafir Masjid Abu Hurairah dekat Jalan Tapah-Bidor.- Foto: NSTP

BIDOR: Prihatin kepada pengunjung yang singgah untuk beribadat dan berehat selepas menempuh kesesakan jalan raya terutama pada cuti umum atau hujung minggu memberi idea kepada ahli jawatankuasa Masjid Abu Hurairah di Jalan Tapah-Bidor dekat sini menyediakan Khemah Musafir.

Menariknya, khemah berkenaan bukan sahaja dilengkapi kerusi dan meja untuk pengunjung yang dianggap tetamu Allah SWT malah turut menyediakan pelbagai hidangan makanan dan minuman.

Sebahagian ahli jawatankuasa masjid yang menjadi tulang belakang pelaksanaan Khemah Musafir di Masjid Abu Hurairah dekat Jalan Tapah-Bidor. Foto NSTP

“Melihat keadaan mereka yang kadang kala nampak letih dan penat selepas menempuh kesesakan di jalan terutama kanak-kanak menyebabkan timbul idea ahli jawatankuasa masjid menyediakan khemah di samping makanan dan minuman secara percuma,” kata setiausaha masjid, Arzami Hashim, 71, ketika ditemui dekat sini.

Yang pasti, ketika ini khemah berkenaan juga menjadi tumpuan pengamal media untuk menunaikan solat dan berehat selepas gempar seramai 131 tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) lolos diri dari Depot Tahanan Imigresen Sementara Bidor pada malam Khamis lalu.

Setiausaha Masjid Abu Hurairah, Arzami Hashim. Foto: NSTP

Sambil menyiapkan tugasan, kami bersama pengunjung masjid berkenaan turut menikmati pelbagai juadah yang disediakan.

Arzami berkata perbelanjaan untuk menyediakan makanan dan minuman adalah melalui tabung khas yang diletakkan di sudut khemah terbabit.

Katanya, wang yang didermakan oleh pengunjung atau musafir itulah yang dikembalikan dalam bentuk makanan dan minuman untuk dinikmati oleh sesiapa sahaja yang mengunjungi masjid itu.

Pengerusi Khemah Musafir, Abu Supian Ahmad Sahari. Foto NSTP

Sementara itu, Pengerusi Khemah Prihatin, Abu Supian Ahmad Sahari, 66, berkata perkarangan masjid berkenaan mempunyai tiga khemah dan salah satu khemah berkenaan juga adalah sumbangan daripada pengunjung masjid.

“Mula-mula dahulu, kami menyediakan dua atau tiga menu sahaja namun selepas melihat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung jadi kami menambah lagi menu di samping minuman.”

“Wang dari tabung khas itu digunakan untuk membayar upah penduduk yang menyediakan makanan dan minuman. Sekaligus, kami juga dapat bantu peniaga kecil menambah pendapatan sampingan,” katanya.

Masjid Abu Hurairah dekat Jalan Tapah-Bidor menyediakan Khemah Musafir untuk pengunjung beribadat dan berehat sambil menikmati pelbagai juadah hidangan. Foto NSTP

Mula dibuka pada Februari 2022, Masjid Abu Hurairah dikelilingi lapan taman perumahan di samping 10 buah surau yang menjadi kariah masjid itu.

Manakala untuk Khemah Musafir itu ia beroperasi pada hari Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti umum bermula jam 3.00 petang sehingga 8.00 malam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini