comscore
Tumpuan :
Nasional

Masjid dan surau dibenar untuk dijadikan PPS

BATU PAHAT: Susulan peralihan monsun timur laut, masjid dan surau di seluruh negeri Johor dibenarkan untuk dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menghadapi situasi banjir luar jangka.

Menurut Exco Hal Ehwal Agama negeri, Mohd Fared Khalid, kaedah ini pernah dilakukan ketika banjir besar melanda beberapa daerah di negeri ini, Mac tahun lalu.

Katanya, pihak pentadbiran masjid atau surau akan memainkan peranan pada hari pertama ketibaan mangsa banjir tiba dari segi menyediakan makanan dan minuman.

“Masjid dan surau boleh mendahulukan duit tabung untuk membeli barang keperluan dan kerajaan negeri akan menggantikannya kemudian.

“Situasi ini pernah kita buat pada tahun lalu dan segala perbelanjaan dikeluarkan oleh pihak masjid dan surau sudah pun kita lunaskan,” katanya selepas melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kuari, Ayer Hitam, di sini, hari ini.

Dalam lawatan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada semua mangsa banjir.

SK Bukit Kuari antara dua PPS dibuka di daerah yang kini menempatkan 80 mangsa membabitkan 22 keluarga.

Sementara itu, Mohd Khalid berkata, pihaknya juga bersedia menghadapi sebarang kemungkinan susulan fenomena air pasang besar dijangka berlaku di beberapa kawasan di negeri ini.

“Kadar pemerhatian kita memang begitulah tetapi saya yakin semua pihak sudah membuat persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Mengikut laporan dikeluarkan, fenomena air pasang besar mencecah 3.1 meter dijangka berlaku pada jam 10.37 pagi esok di daerah ini yang mengakibatkan berapa kawasan berkemungkinan dilanda banjir.

Kawasan terbabit ialah Peserai, bandar Batu Pahat, Taman Batu Pahat, Taman Nira, serta pesisir pantai yang meliputi Lubok Bagan, Minyak Beku, Senggarang, Rengit dan Tampok.

Loading...
Terkini