PUTRAJAYA: Masjid utama di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) diarahkan untuk membaca doa Qunut Nazilah dalam setiap solat fardhu bermula hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam kenyataan berkata, antara masjid terbabit ialah Masjid Negara di Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini.
Turut diminta untuk melaksanakan perkara yang sama ialah masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
“Marilah bersama-sama kita terus bersatu hati berdoa agar Allah memberikan kesejahteraan dan keamanan buat rakyat Gaza di Palestin.
“Selain itu, kita terus menghulurkan bantuan dan sokongan dalam pelbagai platform menyatakan solidariti kepada rakyat Gaza, Palestin,” katanya.
Kementerian Kesihatan Palestin sebelum ini melaporkan seramai 10,328 orang termasuk 4,237 kanak-kanak maut di Gaza.
Sementara itu, 2,450 lagi dilaporkan hilang dan dipercayai masih terperangkap di bawah timbunan runtuhan bangunan.