comscore
Tumpuan :
Nasional

Maszlee ada maklumat yang boleh bantu siasatan kes 1BestariNet – Azam

Oleh: Juliana Sharin

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) percaya bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan pihaknya berkait kes 1BestariNet.

Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, antara maklumat yang diperoleh ialah berkaitan perolehan perkhidmatan data yang berkemungkinan berlaku tuntutan palsu.

“Kita juga bertanya kepada beliau (Maszlee) kenapa beliau mempunyai satu pandangan menentang supaya kontrak ini disambung dan sebagainya. Jadi ada perkara lain yang saya tak boleh dedahkan, tapi lebih kurang itu antara skop yang kita tanyakan beliau dan ada beberapa maklumat lagi yang saya tak boleh kongsikan disini yang kita perolehi daripada beliau,” katanya.

Beliau ditemui selepas menjadi tetamu pada program Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas, Bandar Utama.

Minggu lalu, beliau mengarahkan pegawai penyiasat berjumpa dengan Maszlee bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan projek itu.

Ditanya sama ada terdapat dokumen yang diserahkan oleh Maszlee kepada SPRM semasa pertemuan itu, Tan Sri Azam mengesahkan bahawa terdapat beberapa dokumen diperolehi daripada Maszlee namun enggan mendedahkan butirannya.

6 september lalu, Maszlee mendedahkan isu 1BestariNet antara faktor peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan pada Januari 2020.

Maszlee mendakwa Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad memintanya berbuat demikian, di atas permintaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Tan Sri Azam lagi, siasatan mengenai kes 1BestariNet mengambil sedikit masa memandangkan ia membabitkan lebih 8,000 sekolah di seluruh negara.

Siasatan awal pihaknya menjangkakan ada kemungkinan terdapat sekolah yang tidak dibekalkan data tetapi membuat bayaran.

“Kita sudah mengenal pasti pun sekolah-sekolah tertentu, area tertentu yang mana kita jangka berkemungkinan tidak dibekalkan data tetapi dibuat tuntutan,” katanya.

Menurutnya, sekiranya benar perkara itu berlaku ia merupakan kesalahan mengikut Akta SPRM.

“Sekolah-sekolah berkenaan akan dilawati oleh pegawai-pegawai penyiasat saya dengan berbekalkan dokumen-dokumen tuntutan yang tertentu. Kita kena lihat kepada prasarana dan data yang telah dibekalkan pada ketika itu. Betul ada atau sebaliknya. Banyak maklumat yang kita telah perolehi sebelum ini untuk disahkan daripada pihak sekolah berkenaan.

“Kita tidak akan pergi ke sekolah sampai 8,000 tapi kita akan ambil sampel-sampel yang tertentu, wilayah-wilayah yang tertentu untuk kita siasat dan kenal pasti apa masalahnya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan SPRM memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada 2011.

Difahamkan, siasatan bermula selepas SPRM membuat penggeledahan di pejabat kerajaan dan pejabat YTL di ibu negara, pada 4 September lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini