comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Mat rempit’ dibawa dengar tazkirah, solat Subuh berjemaah

FOTO: JSPT KL

KUALA LUMPUR: Remaja 15 tahun antara 32 ‘mat rempit’ dibawa mendengar tazkirah dan solat Subuh berjemaah selepas ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di sekitar ibu negara, di sini awal pagi hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 15 hingga 25 tahun dibawa ke Balai Trafik untuk proses dokumentasi dan didedahkan dengan program Muhasabah Diri Bersama Mat Rempit.

“Selesai dokumentasi, mereka turut didedahkan dengan motivasi, solat subuh berjemaah dan dilanjutkan dengan tazkirah ringkas di Surau An Nazahah, JSPT Kuala Lumpur.

“Program yang bersifat keagamaan dan ilmiah ini diharapkan memberi kesedaran kepada pesalah – pesalah mat rempit yang ditahan sekitar Jalan Tun Razak awal pada tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, antara pengisian program berkenaan termasuk solat subuh berjemaah dan tazkirah khususnya berkenaan keselamatan diri serta keburukan merempit yang disampaikan oleh Inspektor Zambri dari Unit Penguatkuasa JSPT Kuala Lumpur.

Katanya, mereka juga diajar cara yang betul bagi mengambil wudhu, azan, iqomat dan kaedah menyampaikan tazkirah secara ringkas.

“Pendekatan secara keagamaan dan ilmiah ini diharapkan dapat membantu remaja terbabit yang menjadi warisan negara untuk menunjukkan akhlak mulia kepada masyarakat

“Ibu bapa juga disarankan supaya lebih prihatin dalam mendidik anak-anak dan menjadikan mereka rakan untuk berkongsi pengalaman dan masalah yang dihadapi mereka.

“Secara tidak langsung ia dapat mengurangkan fokus mereka (remaja) terhadap aktiviti yang melanggar undang-undang,” katanya.

Sementara itu katanya sebanyak 157 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi itu antaranya tiada lesen memandu, tiada nombor pendaftaran dan ubah suai motosikal.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini