comscore
Tumpuan :
Nasional

Maut apabila kereta dipandu rempuh tiang jejantas

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh tiang jejantas Jalan Tunku Abdul Rahman, Kota Kinabalu.- FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya melanggar tiang jejantas di Jalan Tunku Abdul Rahman berhampiran Balai Polis Karamunsing, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa Chee Teck Kok, 40, yang memandu kereta jenis Toyota Crown Athlete seorang diri disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi , Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.02 pagi.

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Welson Juanis digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi didapati kemalangan membabitkan kereta jenis Toyota Crown Athlete disyaki terbabas sendiri lalu melanggar tiang jejantas.

“Terdapat seorang mangsa tersepit di bahagian pemandu dan mangsa berjaya dikeluarkan pasukan bomba dengan menggunakan peralatan khas dalam masa hampir sejam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sebaik berjaya dikeluarkan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada 2.30 pagi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini